FAM Semakin Lemah

Berikutan keputusan FAM untuk membekukan pemain import pada Liga Bolasepak Malaysia musim depan, aku amat tidak bersetuju dengan natijah berikut. Tindakan sebegitu sebenarnya, lebih banyak membuka kelemahan FAM dalam mengendalikan sukan berprestij kegemaran rakyat Malaysia secara am-nya.

Kenyataan bahawa, ianya adalah untuk memberi peluang kepada pemain tempatan untuk lebih menyinar dan menyerlah, ternyata meleset dan keputusan tersebut dibuat berasaskan individu dan bukannya dari pemikiran seorang peminat bolasepak yang tegar.

Pertama sekali, alasannya adalah kerana kebanjiran pemain import membuatkan pemain tempatan tidak kompetetif serta mengurangkan kualiti pemain tempatan khususnya penyerang. Di sini, ingin aku menekankan bahawa profesionalisma apakah yang dibawa dalam liga bolasepak kita ini. Sebagai tulang belakang atau induk dalam merencanakan bolasepak negara, pemikiran dan keputusan untuk membekukan pemain import sebenarnya menunjukkan bahawa pemain kita sangat lemah dan lembik untuk bersaing dengan pemain luar negara yang lebih bersungguh serta beretika.

Ketiadaan pemain import juga, membuatkan FAM semakin memanjakan pemain-pemain tempatan yang sebenarnya sudah naik lemak serta tidak patriotik dalam membawa nama negara ke tahap yang lebih baik dalam bola sepak. Sebenarnya, era profesionalisma bolasepak negara kita juga tidak pernah mencapai objektif malah semakin menurun tahapnya, berbanding pada zaman semi-pro yang kegemilangannya, sampai sekarang masih belum lagi dapat diulang kembali.

Kita tidak perlu menunding jari kepada pemain import dalam hal ini. Pemain tempatan kita sendiri perlu bersaing dengan pemain import dalam menunjukkan mereka benar-benar berada di kalangan terbaik dan mampu bersaing dengan pemain berkaliber di luar negara yang lebih kompetetif.Masalah lain pula adalah berakar dari FAM sendiri. Pembabitan orang politik dalam bolasepak, sebenarnya tidak membawa apa-apa kebaikan melainkan pembaziran wang, masa, dan tenaga.

Bagaimana anda ingin menerajui sesuatu oraganisasi sukan sedangkan anda sendiri tidak mempunyai minat yang bersungguh dalam memajukan bolasepak negara. Ianya bolehlah diibaratkan sebagai melantik seorang doktor untuk membuat kerja seorang tukang rumah. Ianya tidak relevan sama sekali. Sepatutnya, kita perlukan seseorang pentadbir yang mempunyai latar belakang yang baik dengan sukan tersebut serta mempunyai beberapa lagi pegawai tertinggi yang mempunyai minat yang sangat mendalam dalam bolasepak.

Panggilah seberapa banyak jurulatih yang bagus sekalipun, ianya belum tentu dapat mengubah apa-apa dalam meningkatkan mutu bolasepak negara kita. Sebetulnya, kita perlukan presiden yang terdiri dari bekas pemain negara, pengurus sukan bolasepak negeri yang terdiri daripada bekas pemain bola sepak yang baik, serta proses pemilihan pemain yang lebih ketat, serta lebih berdisiplin. Perbuatan memanjakan pemain sebenarnya perlulah di hapuskan sama sekali.

Biarlah kita kalah berbelas kosong sekalipun, tetapi pemain tersebut merupakan pemain yang bersungguh-sungguh untuk bermain membawa nama negara. Pada permulaannya, ianya pasti akan menimbulkan sedikit masalah, namun sekiranya pemilihan pemain lebih ketat, tanpa berkompromi dengan disiplin dan etika seorang pemain bolasepak professional, pastinya keadaan bola sepak negara akan menjadi lebih baik dari sebelumnya dan negara kita akan disegani semula sebagai “Harimau Malaya” dalam arena sukan bolasepak.

If you enjoyed this post, make sure you subscribe to my RSS feed!

3 Comments

Wah dah jadi pengkritik sukan nampaknya..

ha..ha..xdelah Zool..lama sangat aku pendam..dari sekolah lagi..kat sekolah pun bola dah dipolitikkan..ko tahulah macamana…

Leave a Comment